BERITA UTAMA

KSSB siasat punca pencemaran diesel Sungai Selangor

SHAH ALAM, 22 JUL: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sedang menyiasat punca pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas tiga Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3).

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat KSSB, Abdul Wahab Nordin berkata, pihaknya mengesan tumpahan tumpahan diesel di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah pada 21 Julai kira-kirar jam 6.15 petang dan kesal dengan kejadian berlaku.

“Pasukan tindakan kecemasan (ERT) kami telah dikerahkan dengan segera ke tapak kejadian dan punca tumpahan telah dikenal pasti serta dikawal.

“Kami kini sedang memantau situasi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan dari semua sudut termasuk kemungkinan berlakunya unsur khianat serta sabotaj dan akan memberikan maklumat tambahan pada masa akan datang.

Katanya, KSSB turut menegaskan perlindungan alam sekitar, sungai dan sumber air adalah keutamaan mereka.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd sebelum ini mengesan pencemaran minyak diesel di LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Ekoran insiden pencemaran itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada jam 6 petang, LRA SSP3 pada jam 8 malam manakala LRA SSP1 serta LRA SSP2 pada jam 8.15 malam, semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga LRA Sungai Selangor serta LRA Rantau Panjang kembali beroperasi pada kira-kira jam 3.30 pagi tadi.


Pengarang :