NASIONAL

KSU, Ketua Perkhidmatan diingat hadir mesyuarat prosiding PAC

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Ketua Setiausaha (KSU) atau Ketua Perkhidmatan (KP) selaku pegawai pengawal bagi sesebuah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan diingatkan memberi keutamaan untuk hadir setiap mesyuarat prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, apabila dipanggil sebagai saksi untuk prosiding.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sepanjang beliau mempengerusikan mesyuarat prosiding PAC sejak dilantik sebagai pengerusi pada 11 April lepas, terdapat KSU atau KP gagal menghadirkan diri walaupun menerima notis panggilan mesyuarat sekurang-kurangnya tempoh 10 hari, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 9, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sebaliknya, mereka hanya menghantar wakil untuk menghadiri mesyuarat prosiding PAC Parlimen dan lebih mengecewakan apabila KSU atau KP terbabit tidak menjawab surat panggilan mesyuarat PAC yang diserahkan bagi memaklumkan mengenai ketidakhadiran secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di bangunan Parlimen, hari ini.

Tambah Noraini, sikap itu jelas tidak menghormati institusi Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara.

Memahami kesibukan tugas dan tanggungjawab KSU atau KP, Noraini berkata PAC terbuka terhadap sebarang cadangan tarikh daripada pihak berkenaan, sekiranya mereka tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh yang ditetapkan. – BERNAMA


Pengarang :