AGENSISELANGOR

Kuala Lumpur, Kuala Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 JUL: Wilayah Kuala Lumpur dan Kuala Langat yang mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor sudah pulih sepenuhnya setakat jam 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, dengan pemulihan di dua wilayah terbabit menjadikan Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Kuala Langat pulih sepenuhnya.

Namun, katanya, peratusan pemulihan bagi Klang, Shah Alam dan Petaling masing-masing berada pada tahap 99 peratus.

“Segala usaha diambil bagi menstabilkan tekanan dan aliran di sistem agihan dan mempercepatkan pemulihan. Pihak kami menyasarkan pemulihan keseluruhan kawasan adalah sebelum atau pada 26 Julai ini jam 9 pagi.

“Kami masih menyalurkan bantuan melalui lori tangki air ke kawasan yang belum pulih sepenuhnya dan mohon kerjasama pengguna di kawasan bekalan sudah pulih untuk menggunakan air berhemat bagi membantu pihak kami menstabilkan dan mempercepatkan pemulihan bekalan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 416,996 jumlah akaun terjejas di Klang dan Shah Alam dengan sasaran pemulihan terkini bagi keseluruhan kawasan pada 25 Julai jam 9 pagi.

Manakala, katanya, jumlah akaun terjejas di Petaling pula adalah 414,955 dengan sasaran pemulihan pada Jumaat jam 9 pagi.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor untuk maklumat serta status terkini atau hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk sebarang bantuan.


Pengarang :