Rodziah melawat salah satu ‘booth’ sempena Karnival Sayangi Desa Peringkat Daerah Kuala Selangor 2019, di Perkarangan Dewan Bestari Jaya, di sini. -foto HAFIZ OTHMAN (SelangorKini)
BERITA UTAMA

Kuala Selangor model Sarang Ekonomi Desa

BESTARI JAYA, 21 JULAI: Kampung Kuantan, Kuala Selangor dipilih sebagai model bagi pelaksanaan Program Sarang Ekonomi Desa yang bakal bermula, pada 1 Ogos ini.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, pemilihan kampung itu sesuai dengan lokasi Kelip-Kelip yang mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan.

Katanya, peluang itu juga dilihat dapat merancakkan aktiviti ekonomi usahawan yang berpotensi untuk dikembangkan di kampung terbabit, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk pendapatan seisi keluarga.

“Dengan ada model ini, banyak kampung dapat memulakan aktiviti ekonomi, malahan kita akan pastikan mereka boleh melaksanakan koperasi kampung masing-masing dengan mewajibkan usahawan menjadi ahli supaya dapat keuntungan yang sama.

“Pelancong yang datang bukan hanya melihat kelip-kelip sahaja tetapi untuk menikmati makanan dalam citarasa yang pelbagai, jadi kita akan menyediakan usahawan yang boleh menyediakan kepelbagaian makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Sayangi Desa Peringkat Daerah Kuala Selangor 2019, di Perkarangan Dewan Bestari Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Seksyen Sektoral, Mohd Faiz Abu Bakar.

Pada masa sama, Rodziah berkata, pihaknya mahu melahirkan seramai 30 hingga 50 usahawan melalui program itu bagi setiap kampung di negeri ini.

“Namun, aspek fizikal harus diperbaiki dan masyarakat sekeliling perlu dibabitkan kerana saya tidak mahu manfaat itu hanya untuk segolongan sahaja.

“Kita perlu kembang dan tanamkan modal perniagaan di tempat yang ada potensi. Misalnya, pusat pengumpulan kerepak atau kraftangan yang datang dari seluruh Selangor akan dikumpul di satu tempat yang pasti menjadi tumpuan pelancong,” katanya.


Pengarang :