SELANGOR

KUIS, Persatuan Peguam Syarie Malaysia jalin kerjasama

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), baru-baru ini.

KUIS diwakili Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan dan Pengantarabangsaan), Dr Zulkifli Abd Hamid, disaksikan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIS, Dr Mohd Musa Sarip, manakala PGSM diwakili Presidennya, Musa Awang dan disaksikan Mohd Ridhwan Husin.

KUIS dalam kenyataan berkata, melalui MoU itu, PGSM akan bertindak sebagai pusat rujukan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan guaman syarie di Malaysia, di samping menempatkan pelajar kolej universiti terbabit dalam latihan industri.

Katanya, KUIS dan PGSM juga akan meneroka peluang kerjasama dalam bidang penerbitan serta penyelidikan berkaitan isu terkini membabitkan undang-undang kekeluargaan Islam.

“KUIS juga menyasarkan pembabitan ahli PGSM dalam sesi pembelajaran yang ditawarkan Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIS.

“Ini kerana kepakaran dan pengalaman peguam Syarie ini amat diperlukan bagi memastikan kurikulum program yang ditawarkan KUIS memenuhi kehendak dan keperluan industri di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, seramai 38 klien mendapatkan khidmat nasihat hasil daripada klinik rundingcara yang dijalankan KUIS, pada 2018.

“Manakala sehingga Jun 2019, seramai 32 klien sudah mendapatkan perkhidmatan ini dan ia dijangka akan terus meningkat.

“Sepanjang operasinya, Klinik Rundingcara Guaman Syariah dan Undang-Undang KUIS ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga KUIS dan orang awam,” katanya.


Pengarang :