SUKANKINI

Kumpulan Perangsang Selangor terus komited taja PDMD

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 13 JUL: Kumpulan Perangsang Selangor terus memainkan peranan selaku penaja utama Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) dengan tajaan berjumlah RM250,000 untuk edisi ke-6 tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM150,00 diperuntukkan untuk kejohanan Bawah 18 Tahun (PDMD) dan baki RM100,000 untuk kejohanan Bawah 12 Tahun.

Replika cek tajaan kejohanan diserahkan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, YM Raja Shahreen Raja Othman kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selepas berakhirnya perlawanan akhir PDMD di Stadium Arena Majlis Perbadaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Tidak ketinggalan, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang turut menyumbang RM150,000 untuk menaja kejohanan Bawah 15 Tahun yang berakhir April lalu.

Pengerusi Kejohanan PDMD, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir berkata, seramai 4,860 orang pemain menyertai kejohanan pada tahun ini dengan 32 pasukan beraksi di peringkat akhir.

“Kejohanan ini adalah kedua daripada tiga kejohanan kita anjurkan atas perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor. Kejohanan Bawah 12 Tahun akan kita anjurkan selepas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selesai.

“Sepanjang enam tahun kejohanan, kita melahirkan 41 orang pemain yang kini beraksi bersama pasukan Piala Presiden, Belia dan Negeri serta seorang pemain kebangsaan.

“Terdapat pihak pencarian bakat yang hadir sejak peringkat suku akhir sehingga akhir bagi mengenalpasti potensi pemain untuk ditawarkan peluang beraksi selepas mereka tamat persekolahan,” katanya.

Sementara itu, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman mengucapkan terima kasih atas tajaan dan sokongan yang diberikan semua pihak.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia menyokong sebarang usaha untuk mencari bakat baharu sukan bola sepak dalam kalangan belia.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita sekarang sedang menyusun industri bola sepak (Selangor).

“Kita berterima kasih kepada semua penaja satu-satunya kejohanan terulung dalam negara yang telah melahirkan banyak bakat, memberikan peluang sekolah-sekolah terlibat dalam program lebih besar di peringkat negeri.

“Kita gembira dan akan melihat prestasi mereka. Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong semua usaha untuk memajukan bola sepak Negeri Selangor,” katanya.

SMK Tinggi Kajang muncul juara PDMD bagi edisi ke-6 selepas menewaskan SMK Seksyen 7 Shah Alam, 3-0 semalam.

Ini merupakan kejayaan ketiga mereka selepas melakar kejayaan sama pada 2015 dan 2016.


Pengarang :