Selangorkini
NASIONAL

Kumpulan pertama, kedua jemaah haji Malaysia selamat tiba

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Kumpulan pertama dan kedua jemaah haji Malaysia, iaitu masing-masing 483 jemaah, selamat tiba dengan penerbangan KT01 dan KT02 di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah, semalam.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu kumpulan pertama jemaah haji itu tiba pada pukul 11.50 pagi waktu tempatan atau 4.50 petang waktu Malaysia, manakala kumpulan kedua tiba pada pukul 5.47 petang waktu tempatan atau 10.47 malam waktu Malaysia.

TH menyediakan lima hotel penempatan iaitu Hotel Al-Haram, Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah, Hotel As Saha dan Hotel Rawda Al-Aqiq sekitar antara 100 dan 300 meter dari Masjid An-Nabawi, kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) TH, Nurrinanuwar Shamsuddin berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana meneruskan inisiatif praperlepasan ‘Mecca Route’ bagi semua jemaah haji Malaysia.

“Pelaksanaan program ini telah terbukti mengurangkan masa jemaah yang berada di lapangan terbang dan juga proses imigresen dapat diselesaikan dalam masa 45 minit hingga satu jam berbanding masa menunggu sehingga tiga atau empat jam sebelum program ini diperkenalkan.

“Terima kasih juga kepada pihak Muassasah Adilah Madinah yang telah banyak membantu khususnya dalam aspek pengurusan haji di sini,” katanya.

Nurrinanuwar berkata jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan serta menjaga kesihatan terutama dalam menghadapi cuaca yang agak panas sehingga mencecah 47 darjah Celsius.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH. – BERNAMA


Pengarang :