SELANGOR

Laguna Park bakal dibangun kawasan rekreasi

KLANG, 22 JUL: Laguna Park yang terletak di Pulau Indah bakal dibangunkan sebagai pusat rekreasi dan sukan air serta akan dibuka kepada umum mulai tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mohamad Razif Abdul Wahab berkata, Laguna Park adalah termasuk sebahagian daripada projek CSSB dinamakan sebagai Selangor Bio Bay.

Katanya, Laguna Park meliputi lebih 404 hektar kawasan dengan sebahagian besarnya digunakan untuk perindustrian, perumahan dan pembangunan bercampur serta taman rekreasi.

“Sepanjang pantai ini nanti akan terdapat kawasan komersial dan pelbagai kemudahan masyarakat termasuk projek kediaman yang kita rasakan dalam jangka masa lima hingga 10 tahun mampu mencapai lebih 15,000 populasi yang akan menetap di Pulau Indah.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk bertemu dengan beberapa pemain industri supaya mereka dapat membina pembangunan mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Restoran Rahmat Tan (Laguna Park) di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pegawai Pembangunan CSSB, Noor Azhuril Adnan.

Sementara itu, Mohamad Yasid berkata, apabila wujudnya pertumbuhan pembangunan di Laguna Park beliau optimis akan ada pemain industri lain untuk bersama mengembangkan lagi sektor pelancongan atau perindustrian di sini.

Katanya, pelbagai kemudahan disediakan di sini selain restoran terdapat juga jeti menyediakan kemudahan bot, aktiviti memancing, trek basikal dan taman permainan.

“Kita sememangnya bercadang untuk mewujudkan tempat rekreasi atau kawasan tumpuan orang awam terutamanya pada hari minggu yang dibuka secara percuma.

“Sebenarnya kawasan ini sudah lama terbiar jadi memang kita mahu membangunkan kerana di Klang ini masih banyak tempat menarik tidak diketahui umum,” katanya.


Pengarang :