AGENDANASIONAL

Lapangan Terbang Subang ‘ditawan’ pengganas dalam simulasi

PETALING JAYA, 25 JUL: Keadaan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang gempar apabila sekumpulan pengganas bertindak ‘menculik’ beberapa orang kenamaan sebelum berjaya ditawan semula menerusi pelbagai teknik dan strategi serangan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semua mangsa dapat diselamatkan selepas sepasukan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) dan unit elitnya, Unit Tiger Platun Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, PDRM menyerbu masuk ke bangunan pejabat.

Tindakan cekap unit elit polis itu membolehkan semua mangsa diselamatkan dalam tempoh kurang dari 30 minit dan kesemua lima anggota militan ditahan tanpa sebarang kecederaan.

Itulah senario yang cuba digambarkan dalam Latihan Ancaman Keganasan (AEX SZB 1/2018) diadakan di lokasi itu yang menarik perhatian orang ramai.

Turut diadakan demonstrasi latihan kebakaran pesawat Sky Golden Air dan ancaman bom di dalam bagasi.

Latihan tersebut turut membabitkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan serta syarikat-syarikat penerbangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, latihan tersebut diadakan bagi mengenal pasti kekurangan dan menambah baik tahap kesiapsiagaan semua agensi apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

Menurutnya, kawasan lapangan terbang merupakan antara sasaran utama ancaman pengganas dan penting untuk setiap agensi mengetahui langkah awal yang perlu diambil.

“Latihan seperti ini akan diadakan kerap supaya semua agensi dapat mengenal pasti dan menambah baik peranan masing-masing apabila berhadapan situasi kecemasan,” katanya pada sidang media selepas Latihan Ancaman Keganasan di LTSAAS di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, sebelum ini pihaknya ada menerima ancaman bom palsu pada 2017 daripada seorang penumpang wanita dan perkara tersebut dapat ditangani dengan baik.

– BERNAMA


Pengarang :