NASIONAL

Laporan hala tuju PR1MA siap Ogos – Zuraida

PORT DICKSON, 4 JUL: Laporan tindakan hala tuju Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan siap selewatnya bulan hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata untuk tujuan itu, satu pemukiman (retreat) dalam kalangan anggota perbadanan yang diketuai Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi diadakan selama tiga hari bermula hari ini, yang akan membincangkan projek yang perlu diberikan tumpuan, selain memberi cadangan mengenai penyelesaian perumahan PR1MA.

“Mereka anggota perbadanan PR1MA telah menjalankan tugas hampir setahun mengkaji dan meneliti kesemua projek PR1MA yang berjumlah 94 projek untuk dikategorikan projek-projek ini mengikut keutamaan iaitu kurang risiko kepada berisiko tinggi.

“Jadi sudah tentu kita akan selesaikan isu-isu projek dengan risiko rendah, yang mana akan mendapat pulangan kepada kita dan kita boleh tampung projek-projek berisiko tinggi. Ini hala tuju mereka cadangkan secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi dialog bersama warga PR1MA yang turut dihadiri Chen dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Mohd Nazri Md Shariff.

Zuraida berkata, 94 projek berkenaan meliputi 94,000 unit kediaman di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata PR1MA tidak akan dibubarkan dan akan terus beroperasi seperti biasa bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Katanya, PR1MA juga menerima sebanyak 14,000 tempahan daripada masyarakat selepas Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilanjutkan sehingga hujung tahun ini, sekali gus meningkatkan penjualan perumahan PR1MA yang sebelum ini tidak terjual.

Beliau berkata, semasa Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kementerian memberi tempoh selama dua tahun kepada PR1MA, untuk menyelesaikan isu perumahan yang dihadapinya.

“Sewaktu kita (Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan, rumah yang tidak terjual ketika itu ialah sebanyak 38,000 dan sekarang kita ada 14,000 tempahan.

“Selepas tempoh setahun, PR1MA berjaya menyelesaikan 50 peratus masalah yang dihadapi dan saya yakin baki 50 peratus lagi akan boleh diselesaikan,” katanya.

Sejak ditubuhkan sehingga Jun lepas, sebanyak 12,999 unit perumahan PR1MA telah siap dibina.

PR1MA kata Zuraida terdedah kepada liabiliti sebanyak RM23 bilion dan telah berkurangan kepada RM12 bilion kini.

– BERNAMA


Pengarang :