JEDDAH, 14 Julai — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan bersalaman dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Penjaga Dua Kota Suci itu di Royal Court hari ini. Seri Paduka berada di Arab Saudi untuk melakukan lawatan khas tiga hari bermula Jumaat lepas atas undangan Raja Salman. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Lawatan Agong ke tanah suci bantu tingkat pengurusan haji

MAKKAH, 14 JULAI: Lawatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Makkah dan Madinah, bukan sahaja memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia dan Arab Saudi, malah membantu mengeratkan agensi kedua-dua negara yang terbabit dalam mengendalikan urusan haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kunjungan Sultan Abdullah atas undangan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, membantu agensi pengurusan haji dan umrah menyediakan perkhidmatan serta kebajikan lebih baik kepada jemaah haji Malaysia pada masa depan.

“Alhamdulillah, saya rasa kehadiran Tuanku di tanah suci amat bermakna sekali kepada kami di Tabung Haji, terutama yang menguruskan haji, kerana kita semua tahu bahawa jemputan kepada Tuanku ini menandakan bahawa hubungan cukup rapat antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

“Perasaan itu dan hubungan rapat itu kemudiannya dapat diturunkan kepada pegawai Arab Saudi yang kita berurusan untuk urusan haji seperti Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara di Makkah, Muassasah Adilla di Madinah dan juga semasa berurusan dengan pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan yang menjaga Masjidil Al-Haram.

“Mereka semua dapat lihat bagaimana sambutan kerajaan Arab Saudi terhadap Tuanku sendiri dan ini menunjukkan tanda hormat Arab Saudi kepada Malaysia dan hubungan akrab yang cukup lama terjalin antara dua-dua negara,” katanya kepada Bernama dan RTM, di sini hari ini.

Sultan Abdullah diiringi putera baginda, Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah dan delegasi termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, tiba di Arab Saudi pada Jumaat sempena lawatan khas tiga hari.

Jadual lawatan Seri Paduka bermula di Madinah, dengan menziarah makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi serta menunaikan solat Jumaat sebelum ke Jeddah pada Sabtu dan mengerjakan umrah di Makkah pada hari yang sama.

Seri Paduka dijadual mengadakan kunjungan terhadap Raja Salman hari ini.

Syed Salleh berkata Seri Paduka juga menzahirkan keprihatinannya terhadap kebajikan jemaah haji Malaysia, selain meluangkan masa bertemu jemaah, pelajar dan pekerja Malaysia di Madinah.

“Tuanku bertanya sendiri dengan saya berkenaan persiapan-persiapan dan kebajikan para jemaah di Madinah dan Mekah kerana jemaah haji telah berada di kedua-dua empat suci ini. Saya berkesempatan menyembah maklum akan persiapan dan jemaah haji yang sentiasa dalam keadaan baik dan ceria ketika menumpukan perhatian mereka kepada ibadah haji mereka,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :