KUALA LUMPUR, 28 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, tiga kanan) mendengar penerangan daripada pegawai bertugas Mahirah Ma’som (kiri) pada Program Saringan Serviks Percuma Etiqa Bersama Rose Foundation di Dewan Sri Pandan Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah, Ampang Jaya hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Lebih 14,800 wanita terima manfaat saringan kanser serviks percuma

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Perkhidmatan saringan kanser serviks percuma di bawah seliaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah dimanfaatkan oleh 14,875 wanita setakat Julai lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM7 juta untuk pelaksanaan ujian HPV DNA berkenaan di klinik Nur Sejahtera LPPKN.

“Ujian HPV DNA secara percuma ini boleh dilakukan di mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN sehingga hujung tahun ini selain perkhidmatan subsidi mamogram dan vaksinasi HPV,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program saringan serviks percuma kelolaan Etiqa bersama ROSE Foundation, di sini, hari ini.

Kerajaan menggalakkan wanita Malaysia menjalani ujian HPV DNA untuk mengesan kehadiran virus HPV atau ‘human papillomavirus’ dengan lebih awal sebelum berlaku perubahan pada sel tisu di kawasan serviks.

Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menarik perhatian bahawa ini antara inisiatif kesihatan itu bagi membantu wanita khususnya daripada golongan berpendapatan rendah B40.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis pelancaran itu, Dr Wan Azizah menyatakan penghargaan atas usaha sama Etiqa dan ROSE Foundation kerana mengadakan program saringan kanser serviks percuma bermula di kawasan Pandan di sini.

Menurutnya, Etiqa menyumbang RM1.2 juta kepada Rose Foundation untuk menyediakan program berkenaan kepada 6,000 wanita golongan B40 berusia antara 30 dan 49 tahun.

“Saya difahamkan program saringan ini dijadual diadakan di Miri, Sarawak pada Ogos ini dan di Bakri, Johor pada September,” katanya.

Inisiatif ROSE atau ‘Removing Obstacles to Cervical Screening’ dilancarkan beliau pada Januari lalu.

– BERNAMA


Pengarang :