SUKANKINI

Lebih 2,000 pelajar sertai KESSUMA 2019

BANGI, 15 JUL: Seramai 2,100 pelajar daripada 13 kontinjen dari seluruh negara menyertai Kejohanan Sukan Sekolah Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-20 tahun 2019 bermula pada hari ini hingga 19 Julai.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Paimuzi Yahya berkata, ia bertujuan melahirkan jaguh sukan dalam kalangan pelajar Sekolah Agama Malaysia yang cergas fizikal dan minda.

“Kejohanan ini bertepatan dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang sudah menetapkan kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Ia penting bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan 10 markah merit bagi tujuan kemasukan ke IPTA dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kejohanan berkenaan di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Antara Sekolah yang terbabit dalam kejohanan itu adalah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Pada masa sama, Paimuzi berkata, amalan riadah atau sukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberikan perhatian umat Islam bagi melahirkan masyarakat yang cergas pemikiran dan kekuatan fizikal.

“Dengan melakukan riadah dan bersukan, ia mengekalkan kecergasan tubuh badan.

“Selain itu, ia dapat menunaikan amal ibadah yang difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk,” katanya.

Antara acara dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan adalah bola sepak lelaki, sepak takraw lelaki, bola jaring, bola tampar lelaki dan perempuan, badminton lelaki dan perempuan dan ping pong lelaki dan perempuan.


Pengarang :