AGENDANASIONAL

Lebih 2,000 usahawan tani wanita terima manfaat Agro Nisaa’-i

ALOR SETAR, 28 JUL: Lebih 2,000 usahawan tani wanita telah mendapat manfaat menerusi pembiayaan mikro Agro Nisaa’-i membabitkan peruntukan kira-kira RM3 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif yang disediakan melalui Agrobank itu bertujuan membantu golongan wanita dalam kalangan berpendapatan rendah terutama B40 terlibat dalam bidang keusahawanan dan menjana pendapatan.

“Kementerian akan lihat perkembangan inisiatif ini, kalau golongan penerima pembiayaan ini maju ke depan, kita akan minta Agrobank tambah lagi peruntukan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program pembiayaan itu untuk komuniti nelayan di Kuala Kedah, dekat sini hari ini.

Katanya, program yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu juga turut mensasarkan ibu tunggal dan ia dilihat sangat berkesan membantu golongan itu.

Jelasnya, selain menawarkan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000, Agrobank juga menyediakan latihan keusahawanan dan bantuan lain termasuk promosi dan pemasaran untuk usahawan terbabit.

Salahuddin berkata, setiap penerima juga akan dipantau oleh Agrobank dan sekiranya usaha mereka menampakkan perkembangan institusi perbankan itu akan menyediakan pembiayaan tambahan untuk mereka mengembangkan perniagaan mereka.

“Jadi, daripada perusahaan kecil kepada sederhana, daripada sederhana boleh jadi usahawan besar yang akhirnya boleh memayungi usahawan baharu nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan. – BERNAMA


Pengarang :