BALIK PULAU, 25 Julai — Lebih 50 pelajar semester satu Politeknik Balik Pulau dikejarkan ke hospital kerana keracunan makanan sejak jam 4 petang semalam. Kesemua mereka sebelum itu menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di politeknik terbabit.– fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Lebih 50 pelajar politeknik di Pulau Pinang keracunan makanan

BALIK PULAU, 25 JULAI: Seramai 55 pelajar semester satu Politeknik Balik Pulau di sini, mengalami keracunan makanan, disyaki berpunca daripada hidangan makanan luar dalam satu program taklimat mengundi petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, setakat 10 malam tadi, seramai 55 pelajar mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau selepas mengalami simptom sakit perut.

“Setakat ini, semua 55 pelajar Politeknik diberi rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang, namun dipantau pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan keadaan anak kerana perkara itu di bawah pengawasan pihak hospital dan juga pengurusan politeknik berkenaan.

Dr Afif berkata, pihaknya mengarahkan siasatan terhadap punca berlaku keracunan makanan dan tindakan seterusnya akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

“Saya sudah mengarahkan siasatan untuk mengenal pasti punca dan keputusan siasatan akan diumumkan selepas selesainya siasatan,” katanya.

Difahamkan sebelum itu semua pelajar berkenaan menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di politeknik itu yang bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.

​​Seramai 207 pelajar semester satu menghadiri program berkenaan dan mereka dihidangkan makanan nasi ayam merah, telur bersama sayur kubis jam 11 pagi sebagai makanan tengah hari.

Bagaimanapun, puluhan pelajar mengadu sakit perut kira-kira jam 4 petang dan mereka dibawa kenderaan jabatan politeknik dengan ditemani pensyarah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau secara berperingkat.

Tinjauan Bernama di Hospital Balik Pulau mendapati semua pelajar politeknik itu yang menerima rawatan, dibenarkan balik.

-BERNAMA


Pengarang :