BERITA UTAMANASIONAL

Lebih RM1 bilion dirampas daripada akaun CPP bagi kerja tidak disiapkan

PUTRAJAYA, 15 JUL: Lebih RM1 bilion yang dilaporkan dirampas daripada akaun bank China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) adalah bagi kerja tidak disiapkan mengikut kontrak, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, wang itu telah dibayar bagi 80 peratus projek saluran paip tetapi kerja yang siap hanya 13 peratus.

“Jadi kerajaan berhak mendapatkan balik wang itu berikutan projek itu telah dibatalkan,” katanya pada sidang media semasa ditanya berhubung perkara itu sleepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, dilaporkan pihak berkuasa merampas lebih RM1 bilion daripada akaun HSBC milik CPP.

Straits Times Singapura memetik sumber sebagai berkata, Putrajaya telah mengarahkan HSBC memindahkan dana itu dalam akaun CPP kepada sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan (MoF), Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd.

CPP mendapat kontrak itu daripada kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2016 untuk membina saluran paip petroleum sepanjang 600km di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan saluran paip gas sepanjang 662km di Sabah.

Tetapi projek berkenaan digantung pada Julai lepas oleh Dr Mahathir.

Menurut laporan Reuters, Dr Mahathir telah berjanji untuk merundingkan semula atau membatalkan apa yang beliau gelar sebagai projek China “yang tidak adil” diberikan oleh Najib.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan mahu mendapatkan balik wang bagi bahagian yang tidak dilaksanakan.

“Mereka (CPP) telah mengambil daripada kerajaan bagi 80 peratus harga kontrak tetapi mereka telah melaksanakan hanya 13 peratus. Jadi bagi bahagian-bahagian yang tidak dilaksanakan, kerajaan mendapatkan balik wang itu,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng awal hari ini bahawa beliau mahupun MoF tidak mengarahkan rampasan itu, Dr Mahathir berkata: “Jika Menteri Kewangan kata Perdana Menteri yang bertanggungjawab, saya bertanggungjawab pada prinsipnya.”

Beliau berkata, “Apabila kontrak diberikan dan kontraktor tidak menggunakan wang yang diberikan kepada mereka untuk membina seluruh projek, jika baki projek tidak dibina, dengan itu kerajaan berhak mendapatkan balik wang itu.”

Kepada soalan sama ada CPP telah dimaklumkan, Dr Mahathir berkata: “Soal itu anda perlu tanya pihak berkuasa Singapura kerana mereka pihak yang menerbitkan mengenai perkara itu.”

– BERNAMA


Pengarang :