Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Lebih RM150 juta dimasuk ke dalam akaun peribadi Najib pada 2014, 2015

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Seorang bekas pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sejumlah besar wang melebihi RM150 juta telah didepositkan ke dalam tiga akaun AmBank “tersembunyi” milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 2014 dan 2015.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, memberitahu bahawa akaun perbankan peribadi Najib yang berakhir dengan 694, yang ditutup pada 2013, telah memindahkan kedua-dua jumlah itu ke akaun lain miliknya yang nombor berakhir 880 tetapi ia digunakan sepenuhnya kerana bakinya susut kepada RM736.17 pada 30 September 2014.

Merujuk kepada penyata akaun bank untuk akaun Najib dengan nombor berakhir 694, 880 dan 906, Yu mengesahkan akaun perbankan yang nombor berakhir 906 menerima sejumlah RM6,779,063 antara Jun 2014 dan Mac 2015, sementara akaun yang nombor berakhir 880 merekodkan kemasukan RM5.6 juta melalui deposit tunai pada Januari dan Februari 2015.

Menurut Yu, terdapat 20 buku cek bagi setiap akaun, berjumlah 80 buku cek untuk kesemua empat akaun, termasuk akaun peribadi lain yang berakhir dengan 898, milik Najib.

Saksi ke-54 pendakwaan memberitahu demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-41 perbicaraan Najib, berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Yu berkata, pada Disember 2014, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd. Nik Faisal Ariff Kamil (Nik) telah menulis kepada bank untuk menjelaskan sumber wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

“Nik berbuat demikian kerana institusi kewangan tersebut tidak selesa dengan jumlah deposit tunai yang tinggi dalam tiga akaun bank milik Najib dengan nombor berakhir 880, 898 dan 906.

“Dana itu adalah daripada dana peribadi Datuk Seri,” katanya.

Sithambaram: Adakah bayaran tunai sering dibuat ke dalam akaunnya (Najib)?

Yu: Ya, apabila akaun terlebih keluar dan dana tidak mencukupi.

Sithambaram: Secara amnya adakah bayaran tunai dibenarkan?

Yu: Ia hanya dibenarkan jika ia benar-benar terlepas pandang. Bagaimanapun ini jarang berlaku dan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Sithambaram: Laporkan kepada siapa?

Yu: Jika tak silap tekaan saya ialah kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bergantung pada keperluan mereka.

Sithambaram: Siapa yang biasanya mengatur pembayaran tunai ke dalam akaun Najib?

Yu: Oleh Nik atau Jho (Jho Low), tetapi ia sentiasa dideposit oleh seorang lelaki bernama Tee Kok Keong.

Yu berkata Jho Low adalah bekas penasihat kepada lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi itu juga berkata Najib tidak mempunyai kemudahan overdraf dan sekiranya berlaku overdraf dalam akaunnya, pihak bank akan memaklumkan kepada pemegang amanah iaitu Nik Faisal, atau Jho Low jika Nik Faisal tidak dapat dihubungi, dan deposit tunai akan diuruskan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu berkata pengarah urusan bank ketika itu, Ashok Ramamurthy telah memberi peringatan berhubung akaun Najib disebabkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mendorongnya memberitahu Jho Low bahawa akaun bank itu harus ditutup.

Beliau menambah bahawa sejumlah besar dan kekerapan overdraf deposit tunai ke dalam akaun itu merupakan salah satu sebab akaun tersebut perlu ditutup.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA


Pengarang :