NASIONAL

Lelaki didakwa jadikan tiga warga India sebagai buruh paksa

 

KUANTAN, 14 JUL : Polis menahan seorang lelaki yang didakwa menjadikan tiga lelaki warga India sebagai buruh paksa di ladang kelapa sawit di Kuala Lipis, Lipis dekat sini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek yang berumur 36 tahun dari Kuala Lipis itu, ditahan pada petang semalam di sebuah kedai makan berhampiran ladang sawit itu.

Katanya, suspek dipercayai mendera mangsa yang berusia antara 33 hingga 48 tahun dengan memukul, tidak memberi makan, diarahkan bekerja tanpa cuti dan kerja lebih masa serta tidak dibenarkan ke kedai.

“Mangsa mendakwa ke negara ini dengan menggunakan khidmat ejen di India dan pas lawatan sosial sebelum dijemput suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ladang.

“Mereka mendakwa suspek merampas pasport dan telefon bimbit mereka sebaik sahaja tiba dan ditempatkan di rumah kongsi ladang dengan bayaran sekitar RM600 selain ada yang tidak dibayar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azli berkata mangsa yang semuanya sudah berkahwin tiba ke negara ini antara September 2018 dan April lepas juga mendakwa suspek gagal mendapatkan permit kerja untuk mereka.

Katanya, seorang daripada mangsa juga mendakwa dirantai pada pergelangan tangan dan dipukul selama lebih sebulan sehingga menyebabkan kecederaan pada tangan kiri.

Katanya, perbuatan mangsa terbongkar apabila seorang daripada mangsa dapat melarikan diri dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis semalam.

“Mangsa yang diselamatkan akan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Melaka manakala suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Azli berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :