Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
AGENDANASIONAL

Lelaki hina Nabi tukar pengakuan tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook, menukar pengakuan sekali lagi kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Danny Antoni, 28, menukar pengakuannya hari ini semasa kesnya disebut di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy dan mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk perbicaraan kes itu.

Danny sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan kemudiannya menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Jun lepas dan hari ini sepatutnya mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Danny didakwa telah memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’ dengan pada 1.21 pagi, 9 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan niat sama pada tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 10 pagi, 4 Mac lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyaraf Md Kamal memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh telah disabitkan kesalahan pada sebutan semula kes yang lepas selepas dia mengaku bersalah.

Edwin Paramjothy bagaimanapun berkata, tertuduh yang diwakili peguam Gabriel Soosay masih mempunyai hak untuk menukar pengakuannya.

-BERNAMA


Pengarang :