NASIONAL

LHDN terima 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sejumlah 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), sehingga 23 Jun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa PKPS yang bermula dari 3 November tahun lepas sehingga 30 September tahun ini, menawarkan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10 dan 15 peratus berbanding penalti sehingga 300 peratus di luar tempoh PKPS.

“Pengakuan sukarela yang kita terima sedang diproses oleh LHDN. Jumlah kutipan cukai akan kita umumkan pada akhir tahun,” katanya ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (BN-Ipoh Timur) mengenai rasionalisasi pelaksanaan PKPS dan jumlah pembayar cukai yang telah menyertai skim itu, serta jumlah cukai tambahan yang telah dikutip hasil daripada pelaksanaan skim tersebut.

Katanya, antara kategori yang termasuk dalam PKPS ialah melaporkan pendapatan yang belum atau pun kurang dilaporkan, perbelanjaan terlebih tuntut atau pun tidak dibenarkan, pelepasan, potongan rebat terlebih tuntut.

Turut termasuk dalam PKPS ialah melaporkan keuntungan pelupusan aset iaitu hartanah dan saham dalam syarikat hartanah dan penyetemen surat cara yang belum disetem.

Katanya, setelah pengakuan sukarela diterima dan diproses, surat persetujuan pelepasan akan dikeluarkan oleh LHDN, dan tindakan audit atau siasatan tidak akan dibuat pada masa akan datang kepada pembayar cukai untuk tahun taksiran pengakuan dibuat.

Menjawab soalan tambahan Wong mengenai pendekatan kerajaan dalam mengutip cukai, Amiruddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan mesra pembayar cukai termasuk inisiatif PKPS dalam menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan.

Katanya, kerajaan juga akan menggunakan kemudahan Pertukaran Maklumat Automasi (AEOI) Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi mendapatkan maklumat pemegang akaun bank di luar negara bagi mereka yang enggan membuat pengakuan. – BERNAMA


Pengarang :