NASIONAL

LPNM tidak cekap, kerajaan rugi RM3.71 juta

KUALA LUMPUR, 15 JUL : Ketidakcekapan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menguruskan pemulangan semula benih nanas MD2 oleh usahawan kontrak menyebabkan kerajaan menanggung kerugian RM3.71 juta.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, benih nanas tersebut tidak dituntut oleh LPNM daripada usahawan kontrak Ladang Nanas Bersepadu Rompin (Rompin Integrated Pineapple Plantation)(RIPP) seperti yang disyaratkan dalam kontrak.

Penggantian benih nanas MD2 yang tidak dikutip berjumlah RM3.71 juta itu merangkumi RM2.6 juta pada 2017 dan RM1.11 juta pada 2018. Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan hanya mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional pada Mei 2018.

“Ini merupakan kerugian kepada kerajaan dengan pengembangan penanaman nanas kepada usahawan kontrak lain tidak boleh dilaksana,” jelas laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Syarat perjanjian menetapkan usahawan kontrak dan koperasi perlu mengganti balik benih nanas MD2 kepada LPNM pada kadar 40,000 benih nanas MD2 bagi setiap 20,000 benih nanas MD2 yang dibekalkan oleh LPNM dalam tempoh tiga tahun dari tarikh perjanjian ditandatangani.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melantik LPNM pada 2013 untuk melaksana projek tanaman nanas MD2 dengan peruntukan RM15 juta dan LPNM melaksana projek itu di ladang RIPP dengan melibatkan 21 usahawan kontrak termasuk satu koperasi.

Dalam pada itu, laporan Audit berkenaan turut merumuskan bahawa program pembangunan keupayaan untuk penghasilan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi pasaran premium kurang berkesan kerana Jabatan Pertanian (DOA) tidak memfokuskan kepada objektif penghasilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang ditetapkan.

Enam jenis buah yang dipilih oleh Makmal Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area (NKEA) Pertanian di bawah inisiatif itu ialah betik, belimbing, tembikai susu, nangka, pisang cavendish dan nanas MD2 manakala tomato, salad dan lada benggala (capsicum) merupakan tiga jenis sayur yang dikenal pasti.

“MOA dan DOA menilai perlu semula pencapaian program ini dan mengkaji semula ketetapan pemilihan jenis buah-buahan dan sayur-sayuran premium bagi membolehkan hasil pengeluaran dapat menembusi pasaran eksport dengan lebih meluas,” ujar laporan itu.

-BERNAMA


Pengarang :