SELANGOR

LUAS wujud landskap kehidupan, inovasi unik

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 1 JUL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewujudkan Landskap Kehidupan (LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 Off River Storage (ORS), Bestari Jaya, di sini.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, ORS Bestari Jaya antara lokasi terpilih bagi melaksanakan landskap kehidupan kerana konsep ‘off river storage’ yang dilihat mampu untuk direplikasikan di tempat lain.

Katanya, inovasi pembangunan landskap kehidupan dalam sumber air alternatif di ORS Bestari Jaya berjaya mengurangkan kos pembangunan landskap dengan menggunakan konsep gotong-royong membabitkan komuniti setempat dan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Kelab Rotary.

“Dengan adanya inovasi sebegini ia berjaya membuktikan bahawa pengurusan sumber air secara holistik, mampan dan memberi pelbagai faedah kepada komuniti setempat dan alam sekitar serta berpotensi dikembangkan ke seluruh negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada LUAS dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana berjaya menghasilkan ciptaan inovasi yang unik ini.

“Hal ini sejajar dengan matlamat LUAS dan MDKS sebagai agensi rujukan dalam pengurusan sumber air serta pembandaran lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Landskap Kehidupan LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 ORS Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah LUAS, Haslina Amer berkata, inovasi itu juga berpotensi menjadi peneraju era baharu pengurusan dalam menyelaras kawasan sumber air dengan membenarkan aktiviti rekreasi yang terkawal.

“Ini mampu memberikan manfaat sosial kepada masyarakat dan pada masa sama sumber air dapat digunakan apabila diperlukan.

“Malah, selain mengangkat konsep ORS untuk bekalan air, ia juga dipelbagaikan fungsinya dengan pembangunan sebagai tempat sukan air, pendidikan, latihan dan rekreasi sumber air negeri,” katanya.


Pengarang :