BALIK PULAU, 21 Julai — Pelukis mural, Nasrul Hisham Jamaludin, 43, (kiri) dan Amir Andhar Abu Samah, 25, bergambar di hadapan mural ikan yang dihasilkan mereka pada dinding Flat Lili sempena dengan sambutan Festival Balik Pulau 2019. Nasrul berkata kerjaya sebagai pelukis mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya pelukis itu bijak mengambil peluang dan tahu strategi pemasaran. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Lukisan mural beri kepuasan berbeza kepada pelukis

BALIK PULAU, 21 JULAI: Berbekalkan minat mendalam dalam bidang seni lukis, seorang lelaki memberanikan diri berhenti kerja seterusnya menjadi pelukis mural sepenuh masa.

Nasrul Hisham Jamaludin, 43, nekad meninggalkan kerjayanya sebagai pereka kostum yang diceburi selama 15 tahun dan mengambil keputusan membuka perniagaan sebagai pelukis mural sepenuh masa dengan nama, NashArt.

“Semasa saya bekerja sebagai pereka kostum saya hanya melukis potret, mural dan seumpama secara sambilan. Bila dah lama tu saya rasa macam boleh untuk saya jadi pelukis sepenuh masa, jadi saya berhenti kerja. Saya kemudiannya buka perniagaan di Ipoh dengan melukis mural, potret dan pada masa sama saya juga ada buat kostum.

“Selain itu, saya adakan bengkel melukis mural untuk orang ramai. Untuk menjana pendapatan saya tak boleh fokus pada satu perkara sahaja saya kena pelbagaikannya. Marketing kena pandai,” katanya kepada Bernama.

Nasrul Hisham ditemui ketika lawatan mural oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Flat Lili, di sini semalam.

Nasrul Hisham bersama empat lagi pelukis tempatan diberi peluang untuk melukis mural di dinding Flat Lili, Flat Hijau, Flat Seri Indah dan Pekan Kongsi di sini bersempena dengan sambutan Festival Balik Pulau 2019 yang berlangsung selama tiga hari.

Anak kelahiran Titi Teras, di sini itu berkata, melukis mural memberi lebih kepuasan berbanding melukis di atas kanvas kerana lukisan mural lebih dekat dengan masyarakat selain ruang yang luas untuk berkarya.

“Lukisan potret misalnya kita hanya dapat lihat di Balai Seni dan pameran sahaja. Kalau lukis dekat dinding ni ramai orang boleh tengok dan saya rasa lukisan itu lebih dihargai oleh masyarakat… memang beri kepuasan berbeza,” katanya.

Beliau telah melukis sebanyak lapan mural di bandar Kajang, Ipoh dan pekan Bagan Datuk sejak lima tahun menjadi pelukis mural.

Kerjaya sebagai pelukis mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya pelukis itu bijak mengambil peluang dan tahu strategi pemasaran, katanya.

BALIK PULAU, 21 Julai — Kanak-kanak Flat Lili di sini tertarik dengan mural ikan dan bunga yang dihasilkan oleh dua pelukis mural, Nasrul Hisham Jamaludin, 43, dan Amir Andhar Abu Samah, 25, pada dinding flat berkenaan sempena sambutan Festival Balik Pulau 2019.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya banyak tunjuk hasil karya di Facebook NashArt dan dari situ saya dapat ‘job’ melukis mural. Untuk job di Balik Pulau ni pihak Balai Seni Negara telefon saya selepas tengok Facebook saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelukis mural, Amir Andhar Abu Samah, 25, berkata selepas menamatkan pengajian dalam bidang seni lukis pada 2014 beliau memilih untuk menjadi pelukis mural sepenuh masa.

Berkongsi pendapat yang sama, beliau berkata melukis mural lebih memberi kepuasan kerana menyifatkan lukisan di atas kanvas agak terhad.

“Bila lukis atas kanvas, ‘viewer’ tak meluas. Kepuasan itu lebih bila lukis mural ni sebab kita melukis untuk orang tengok. Rasa seronok bila kita lukis orang tengok hasil kerja kita. Kita boleh tunjuk apa yang kita boleh buat,” katanya yang gemar melukis mural bermotifkan figuratif.

Beliau berkata hasil karyanya boleh dilihat di kawasan sekitar Butterworth, Bagan Luar dan Kuala Lumpur serta di Singapura.

Ditanya mengenai pihak yang gemar memanggil pelukis mural luar negara berbanding pelukis tempatan, Amir Andhar berkata, pelukis tempatan tidak perlu berasa dengki atau tidak puas hati, sebaliknya berusaha untuk menjadi yang terbaik dengan menunjukkan bakat yang ada.

-BERNAMA


Pengarang :