EXCOSELANGOR

Lulus peruntukan RM6 juta jamin pembangunan luar bandar

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri meluluskan RM6 juta bagi menjamin kepentingan pembangunan luar bandar tahun ini, kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, ia membabitkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, asas luar bandar, naik taraf jalan luar bandar, longkang, dewan serbanguna serta balai raya.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited supaya peruntukan bagi pembangunan luar bandar diteruskan setiap tahun.

“Bagi mekanisme pelaksanaan, setiap lapisan masyarakat sama ada rakyat, ketua kampung atau Ahli Dewan Negeri (ADN) boleh menyalurkan aduan kepada pejabat daerah dan tanah (PDT) yang menjadi agensi penghubung antara Kerajaan Negeri dan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADN Morib, Hasnul Baharuddin pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Rodziah berkata, PDT kemudian akan menyemak aduan terbabit dan membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk kelulusan.

“Ini untuk memastikan permohonan bagi pelaksanaan pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan tersusun termasuk mengambil kira peruntukan sedia ada dan kepentingan projek kepada rakyat,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan inventori bagi jalan luar bandar dan kampung di seluruh Selangor melalui pendaftaran yang akan dibuat PTD serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah seliaan masing-masing.

“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen, sehubungan itu setiap ADN boleh bekerjasama dengan Ahli Parlimen kawasan masing-masing dalam perkara ini.

“Setiap tahun peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) yang disediakan oleh Kementerian Kewangan akan disalurkan kepada PDT dan PBT untuk memastikan kerja penyelenggaraan serta naik taraf dapat dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :