SELANGOR

LZS bantu ibu tujuh anak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 1 JUL: Berjauhan dengan suami yang bekerja di Pulau Pinang sebagai buruh binaan, pastinya menyukarkan kehidupan ibu tujuh anak, Sri Wahyuni Lubis, 40.

Dengan gaji yang tidak seberapa dan hanya menjengah sebulan sekali, hidup Wahyuni pastinya sukar.

Justeru, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif memberi bantuan secara terus antaranya bantuan kewangan berjumlah RM700, sewa rumah RM400 dan persekolahan anak-anaknya.

LZS memaklumkan Wahyuni bersama tujuh anaknya menghadapi kesukaran apabila rumah disewa hampir empat bulan tertunggak.

“Walaupun sewanya hanya RM400 sebulan namun amat berat bagi ibu ini untuk membiayainya,” katanya.

Sementara itu, Wahyuni bersyukur dengan bantuan diberikan LZS.

“Alhamdulillah Zakat Selangor banyak sangat membantu. Ringan sangat rasanya hidup sekarang ini. Tidak risau lagi masalah rumah, makan minum, sekolah anak-anak.

“Rumah ini sempit untuk memuatkan semua tujuh anak tetapi Alhamdulillah anak-anak tidak banyak berkira.

“Kami makan apa yang ada. Cuma apabila tiba bulan puasa baru-baru ini, ada kala beras tak cukup. Alhamdulillah ada masyarakat, kakak ipar dan masjid datang membantu,” katanya.


Pengarang :