AGENSISELANGOR

LZS segerakan bantuan surau terbakar

DENGKIL, 23 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mempertimbangkan bantuan bagi membaik pulih Surau Al-Iman, Taman Dengkil Jaya, di sini yang musnah dalam kebakaran, Sabtu lalu.

Jurucakap Operasi Agihan LZS, Aizul Zaki berkata, bantuan seperti karpet dan peralatan PA System, rehal serta sejadah akan diberikan mengikut keperluan surau terbabit.

“Hasil siasatan dan ziarah mendapati hampir 70 peratus struktur surau musnah dalam kebakaran terbabit membabitkan bumbung, ruang solat utama dan kawasan stor. Tiada kemalangan jiwa di laporkan,” katanya dalam kenyataan.

Surau yang beroperasi sejak tahun 2000 dan mampu memuatkan 700 jemaah musnah terbakar kira-kira jam 2.30 petang.

Hasil siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada stok menyimpan sejadah, namun punca sebenar masih disiasat termasuk anggaran kos kerugian.

Buat masa ini, beberapa khemah didirikan di hadapan tempat letak kereta sebagai surau sementara untuk kegunaan jemaah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abdul Samad di talian 011-28535540 atau terus menyumbang menerusi akaun 8602812328 (CIMB) atas nama Surau Al-Iman Taman Dengkil Jaya.


Pengarang :