NASIONAL

Mahasiswa UKM dekati sekolah, terap amalan hijau 

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 10 JUL: Mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif mendekati Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) bagi menerapkan amalan hijau dan gaya hidup sihat.

Pensyarah Kanan UKM-MBA, Prof Madya Dr Khairul Anuar Mohd Ali berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan membantu prestasi pentadbiran pihak sekolah.

Katanya, amalan Hijau, ‘Lean’ dan Gaya Hidup Sihat yang diterapkan UKM kepada pihak sekolah dilihat berupaya memberi impak berpanjangan.

“Matlamat kami juga adalah untuk mewujudkan komuniti berkualiti dalam aspek meningkatkan imej korporat sekolah, menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga sekolah.

“Kita juga mahu menggalakkan dan mewujudkan persekitaran hijau seterusnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti di SMAPK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Hijau, ‘Lean’ dan Gaya Hidup Sihat di SMAPK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Mohd Raiz Radzuan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Siti Amiza Abdul Aziz, Pengetua SMAPK, Abdul Aziz Mahmud dan Pengurus Program CSR UKM-GSB, Mohd Wafi Arip.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, SMAPK terpilih sebagai peserta berdasarkan pencapaian dan prestasi akademik sekolah yang cemerlang.

“Justeru, melalui amalan diterapkan ini ia akan membantu pengurusan rekod dan dokumen serta kemasan lokasi tempat bertugas khasnya di Pejabat Pentadbiran Sekolah.

“Pengurusan dan pentadbiran yang berkesan adalah relevan kepada penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan cekap. Harapan kami agar kesinambungan projek ini akan terus mencetuskan inovasi baru yang boleh memulakan perubahan positif,” katanya.

 


Pengarang :