AGENDANASIONAL

Mahathir ucap takziah atas kematian Pelli

KUALA LUMPUR, 20 JUL : Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesedihan berikutan kematian Cesar Pelli, arkitek terkemuka dunia yang menghasilkan rekaan bangunan ikonik Malaysia, Menara Berkembar Petronas.

Dr Mahathir berkata Pelli, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun, datang dari New York ke Kuala Lumpur untuk menghasilkan rekaan struktur itu.

“Saya berasa sedih apabila mendapat perkhabaran tentang pemergian arkitek hebat yang menghasilkan rekaan Menara Berkembar di Malaysia, Encik Cesar Pelli dari Argentina.

“Ucapan takziah saya kepada keluarga Cesar Pelli,” kata Dr Mahathir dalam video pendek yang dimuatkan dalam Twitter hari ini.

Menara kembar yang mengagumkan di pusat bandar Kuala Lumpur itu adalah bangunan tertinggi di dunia apabila ia dibuka pada tahun 1998, dan memegang gelaran itu selama enam tahun.

Kematian Pelli dilaporkan oleh media negara dan para pegawai di Argentina pada Jumaat.

Selain Menara Berkembar Petronas, rekaan beliau yang terkenal termasuk Pusat Kewangan Dunia di Bandaraya New York dan Menara Canary Wharf di London.

-BERNAMA


Pengarang :