NASIONAL

Mahkamah tolak penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib 19 Ogos

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, akan bermula pada 19 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah yang menolak permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mendapatkan penangguhan.

“Ini kali ketiga penangguhan dipohon dan mahkamah ini berpendapat bahawa ia tidak boleh membenarkan satu lagi penangguhan berikutan arahan amalan mahkamah.

“Sehubungan itu, perbicaraan akan bermula pada 9 pagi, 19 Ogos,” kata beliau, dan menambah, pengurusan kes yang ditetapkan pada 15 Julai juga telah dilapangkan.

Hakim Sequerah sebelum ini menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang September dan Oktober kecuali hari Jumaat; dan dua minggu pertama pada November, bagi perbicaraan kes 1MDB Najib.

Terdahulu, Thomas yang merupakan pendakwa raya utama dalam perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd, memohon penangguhan bagi perbicaraan kes 1MDB yang ditetapkan pada Ogos dan September untuk memberi laluan kepada perbicaraan SRC diselesaikan terlebih dahulu.

Thomas memberitahu mahkamah pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan kes SRC International, bahawa kes itu mungkin tidak dapat diselesaikan sebelum 15 Ogos.

“Ini akan menimbulkan kesukaran bagi perbicaraan nombor dua (merujuk kepada kes 1MDB) untuk bermula sebelum kes pertama (merujuk kepada kes SRC) selesai di mahkamah,” kata Peguam Negara.

Permohonan Thomas kemudiannya disokong oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang memberitahu mahkamah beliau juga mahu memastikan kes SRC selesai terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes 1MDB boleh didengar di mahkamah.

Najib berdepan empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan di sini antara 2011 dan 2014.

Bekas perdana menteri itu turut menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA


Pengarang :