NASIONAL

Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh perbicaraan, hadir sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membolehkan dia menghadiri persidangan Parlimen hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa tiada kepastian yang jelas bila sebenarnya para anggota Parlimen perlu mengundi untuk meluluskan rang undang-undang tertentu.

“Saya menentang permintaan supaya perbicaraan ditangguhkan, kerana prosiding persidangan Parlimen akan berlangsung selama beberapa minggu. Belum pasti bila pengundian bagi mana-mana satu daripada dua rang undang-undang tersebut akan diadakan pengundian.

“Ini bukan isu mahkamah hendak menghalang tertuduh daripada menghadiri Parlimen. Perkara yang penting adalah anggota Parlimen yang menjadi tertuduh juga sedang menghadapi tujuh pertuduhan yang menjadi perkara pokok pada perbicaraan hari ini. Jadi, saya menolak permohonan penangguhan ini,” kata hakim ringkas pada hari ke-30 perbicaraan itu hari ini.

Terdahulu, ketua pasukan peguam Anggota Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghujahkan bahawa anak guamnya memerlukan pelepasan sehari untuk membolehkannya menghadiri persidangan Parlimen.

Muhammad Shafee berkata, Najib ingin mengambil bahagian dalam sesi berkenaan kerana terdapat rang undang-undang penting yang dibentangkan mengenai pengisytiharan harta oleh para Anggota Parlimen dan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

“Anak guam saya telah dituduh dan kini sedang dibicarakan tetapi dia juga mempunyai tugas untuk menghadiri persidangan Parlimen. Dia tidak meminta untuk tidak hadir untuk sepanjang tiga minggu yang telah ditetapkan bagi kes ini.

“Permohonannya dalah satu permintaan yang munasabah untuk menghadiri sesi hari ini dan juga satu lagi sesi bila rang undang-undang untuk menurunkan had umur untuk layak mengundi dibentangkan,” tambah beliau.

Muhammad Shafee berhujah bahawa pernah ada kes sebelum ini di mana Anggota Parlimen diberi penangguhan kes mahkamah yang dihadapi mereka apabila mereka perlu menghadiri persidangan Parlimen seperti dalam kes mendiang Karpal Singh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Negara, Tommy Thomas membalas hujahan itu dengan mengatakan bahawa tiada sebab untuk mahkamah membenarkan permohonan Najib kerana Anggota Parlimen Pekan itu masih boleh menghadiri persidangan Parlimen selepas pukul 5 petang.

“Ini kes yang mempunyai kepentingan awam dan kepentingan nasional. Persidangan Parlimen kadang-kadang bersambung hingga ke pukul 9 malam dan Najib boleh sahaja ke sana selepas perbicaraan kes di mahkamah. Mesti ada satu bentuk disiplin mahkamah untuk memastikan bahawa perbicaraan berjalan dengan licin dan lancar.

“Mantera pihak pembelaan ialah mereka selalu hendak membuktikan kes mereka di mahkamah tetapi mereka akan mengambil setiap peluang untuk memohon penangguhan. Ini permohonan yang tidak sihat dan saya membantahnya,” tambah beliau.

Najib, 66, dituduh atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta. – BERNAMA


Pengarang :