AGENDA NASIONAL

Malaysia belum putuskan untuk ratifikasi CPTPP

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kerajaan masih belum memutuskan sama ada Malaysia akan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau tidak, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, kerajaan masih memerlukan lebih masa untuk menilai perjanjian tersebut secara lebih teliti memandangkan CPTPP merupakan satu perjanjian yang kompleks dan komprehensif.

“Komitmen yang dipersetujui di bawah CPTPP mempunyai impak yang besar kepada sebahagian undang-undang, dasar dan peraturan serta amalan semasa kerajaan termasuk yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan agar setiap FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) yang disertai Malaysia adalah bebas, adil serta selaras dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan negara untuk manfaat ekonomi yang mampu diagihkan kepada golongan sasar,” katanya pada pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Chai Kim Sen yang ingin tahu status terkini berkenaan perjanjian perdagangan bebas berkenaan.

Kepada soalan tambahan Chai sama ada kajian impak mengenai CPTPP itu akan dibentangkan kepada umum, Ong berkata ia akan dideahkan apabila tiba masanya.

Menurut Ong lagi kajian impak sama ada CPTPP itu akan membawa kesan positif atau sebaliknya kepada negara sedang dibuat oleh badan-badan kerajaan serta bukan kerajaan yang berkaitan secara dalaman dan luaran.

CPTPP merupakan perjanjian perdagangan yang dirundingkan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada TPPA.

Perjanjian tersebut telah dipersetujui dan ditandatangani pada 8 Mac tahun lepas. Ia melibatkan baki 11 negara yang pada asalnya menandatangani TPPA iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Ketika ini Malaysia dan tiga lagi negara iaitu Brunei, Chile dan Peru yang masih belum meratifikasi perjanjian tersebut. – BERNAMA


Pengarang :