GLOBAL

Malaysia negara terbaik dunia untuk melabur 2019 – CEOWORLD

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Malaysia muncul sebagai negara terbaik dunia untuk melabur atau menjalankan perniagaan bagi 2019, menurut majalah CEOWORLD.

Poland di tempat kedua, diikuti oleh Filipina, Indonesia dan Australia dengan Malaysia terus menjadi destinasi paling menarik untuk pelabur dan ahli perniagaan dalam kalangan 67 negara yang dinilai.

Menurut CEOWORLD, penarafan itu berdasarkan 11 faktor berbeza, termasuk rasuah, kebebasan (peribadi, perdagangan, dan kewangan), tenaga kerja, perlindungan pelabur, infrastruktur, cukai, kualiti hidup, birokrasi dan kesediaan teknologi. Setiap katgeori diberi pertimbangan samarata.

Penarafan itu meletakkan Singapura di tempat keenam, diikuti India, Republik Czech, Sepanyol dan Thailand. United Kingdom, Amerika Syarikat, China, dan Jepun masing-masing di tempat ke-16, ke-18, ke-24 dan ke-32.

Setiap tahun, majalah CEOWORLD memberi penarafan dunia berdasarkan pelbagai kategori iaitu daripada orang terkaya kepada universiti terbaik, syarikat terbaik dan eksekutif terbaik. Satu daripada kategori itu adalah “World’s best Countries to Invest In or Do Business” (Negara Terbaik Dunia Untuk Melabur Atau Menjalankan Perniagaan). – BERNAMA


Pengarang :