NASIONAL

Malaysia perlu mekanisme atur kesesakan jalan raya

GEORGE TOWN, 17 JULAI: Malaysia memerlukan satu mekanisme untuk mengatur kesesakan jalan raya untuk mengubah tingkah laku pemanduan di jalan raya.

Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Azman Ismail berkata perubahan itu merangkumi titik pencetus, sistem, aliran maklumat dan pengenaan levi kesesakan.

“Ini akan menggalakkan orang ramai menggunakan mod pengangkutan awam sebagai alternatif untuk sampai ke destinasi mereka,” katanya sambil menambah Singapura memperkenalkan caj jalan bagi menangani kekesakan lalu lintas di negara kepulauan itu yang mungkin boleh dicontohi.

Azman berkata, pihaknya akan mengkaji sistem berkenaan dan akan membawa kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan bagi membolehkan pelaksanaannya dilakukan.

“Kita akan kaji dahulu dan kita akan bawa perkara ini untuk pertimbangan pihak kerajaan supaya konsepnya boleh dilaksanakan.

“Ia adalah cadangan daripada pihak industri sendiri,” katanya kepada Bernama di akhir Persidangan Konsesi Lebuh Raya 2019 di sini.

Persidangan berkenaan dianjurkan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia.

Mengulas berhubung persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, Azman berkata, terdapat banyak perkara baharu dapat dimanfaatkan oleh pemain industri berkenaan.

“Ia memberikan satu nafas baru berhubung industri yang kita hadapi, bagaimana negara lain mengatasinya selain mendapat pencerahan berkenaan pelbagai konsep yang boleh dilakukan.

“Persidangan ini dapat membuka minda untuk menggunakan cara yang lebih berinovatif,” katanya.

Persidangan itu bertujuan untuk berkongsi aspirasi, pengalaman dan idea terhadap isu serta cabaran semasa yang dihadapi dalam industri lebuh raya bertol di Malaysia terutama berkaitan aspek kewangan, operasi dan penyenggaraan lebuh raya.

Azman, yang juga Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad berkata, pihak pengurusan baharu syarikat memperkenalkan beberapa perubahan menggunakan teknologi dan melaksanakan transformasi digital untuk menangani cabaran serta halangan yang wujud selama ini.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keselamatan para pelanggan lebuh raya dan produktiviti kakitangan, yang secara langsung dapat mengurangkan kos,” katanya.

Pada persidangan itu, LLM turut memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada penggiat industri lebuh raya bertol di Malaysia yang melaksanakan projek pendigitalan lebuh raya yang lebih inovatif menerusi penyampaian Anugerah Kecemerlangan Digitalisasi Lebuh Raya (HDEA).

-BERNAMA


Pengarang :