NASIONAL

Malaysia tidak mungkin dilanda jerebu tahun ini

KUCHING, 10 JUL : Malaysia dijangka tidak mungkin dilanda jerebu tahun ini berdasarkan teknik yang dibangunkan oleh saintis yang mampu meramalkan pencemaran jerebu di rantau ini, kata seorang fellow Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Abu Bakar Jaafar.

Abu Bakar, yang juga profesor dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata berdasarkan penemuan itu, saintis, termasuk pakar kajian iklim, dapat menentukan sifat dan tahap kesan dari jerebu.

Beliau berkata melalui pengetahuan terkini yang diperoleh daripada indeks Musim Sejuk Monson Asia Timur sebagai mekanisme ramalan, negara akan lebih bersedia menghadapi kejadian jerebu.

“Sebagai contoh, apabila terdapat perubahan besar dalam indeks bahagian standard atau indeks Musim Sejuk Monson Asia Timur menurun, kita akan dilanda jerebu seperti pada 1997, 2000, 2003, 2004, 2005 dan kejadian jerebu yang terakhir pada 2015, ” katanya pada sidang media selepas menghadiri bengkel dua hari mengenai jerebu dan pembakaran biomas di Asia di sini hari ini.

Turut hadir pengarah Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI) Sarawak Dr Lulie Melling dan pengarah program Institute for Applied Systems Analysis (IISA) of Air Quality and Greenhouse Gases yang berpusat di Austria, Dr Markus Amann.

Mengenai mekanisme untuk menangani jerebu, Abu Bakar berkata, ASM yang bekerjasama dengan TROPI, telah menghasilkan strategi untuk membuat ramalan kualiti udara dan iklim, pengurusan kawasan gambut dan cara menukar bahan alur menjadi tenaga.

Beliau berkata dapatan dari bengkel ini juga akan dikongsi dengan para saintis dari Indonesia, Thailand dan di seluruh dunia selain bekerjasama rapat dengan badan-badan antarabangsa seperti IIASA yang mempunyai pakar mengenai pencemaran udara.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran terbesar adalah untuk menguruskan kawasan tanah gambut dengan efisien, seperti di Sarawak apabila tidak ada sebarang titik panas yang dicatatkan semasa jerebu yang melanda negara dan rantau ini.

Disebabkan harga atau tarif yang rendah untuk menukar bahan alur kepada tenaga dan bukan membakarnya, beliau berkata salah satu strategi adalah untuk mengubahnya menjadi methanol kerana nilai ekonominya yang lebih tinggi.

-BERNAMA


Pengarang :