Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Malaysia tidak pernah iktiraf sekolah pergigian Taiwan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Kelayakan asas pergigian daripada sekolah pergigian di Taiwan tidak pernah diperakui di bawah Akta Pergigian 1971, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang juga presiden Majlis Pergigian Malaysia (MPM), merujuk kepada laporan berita semalam yang menyebut MDC menarik balik pengiktirafan tujuh buah sekolah pergigian Taiwan daripada jadual kedua akta terbabit.

“MDC ingin menjelaskan bahawa ini tidak benar kerana kelayakan asas pergigian dari sekolah pergigian Taiwan tidak pernah diiktiraf di bawah Akta Pergigian 1971.

“Oleh itu, ia tidak pernah disenaraikan di bawah jadual kedua akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, pendaftaran graduan pergigian dengan kelayakan tidak diiktiraf termasuk dari institusi pergigian Taiwan mungkin dipertimbangkan di bawah Seksyen 12(3) atau Seksyen 12(9) Akta Pergigian 1971 jika memenuhi kriteria ditetapkan MDC.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini, terdapat 139 graduan dari sekolah pergigian Taiwan yang tidak diiktiraf sudah didaftarkan dengan MDC selepas memenuhi kriteria.

Katanya, kesemua graduan itu juga dibenarkan mengamalkan profesion mereka di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :