NASIONAL

Malaysia tunggu jawapan positif tambahan kuota haji

SEPANG, 4 JUL : Malaysia dijangka menerima berita positif berkaitan rayuan kuota tambahan 10,000 jemaah haji musim ini dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Bagaimanapun, Mujahid berkata, pihaknya masih menunggu keputusan rasmi kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan itu.

“Itu adalah hak kerajaan Arab Saudi. Alhamdulillah saya dengar-dengar di hujung telinga, positif. Insya-Allah. Tapi, ada berita baik,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis pelancaran inisiatif “Road to Makkah” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kuota haji Malaysia tahun ini ialah 30,200 namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi bagi memohon kuota tambahan itu.

Sementara itu, Mujahid menyampaikan penghargaannya kepada kerajaan Arab Saudi kerana meneruskan inisiatif “Road to Makkah” di Malaysia tahun ini, yang merupakan tahun ketiga.

“Hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi kian kukuh dari semasa ke semasa dan saya sangat gembira kerana inisiatif ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Menurut Mujahid, inisiatif itu dapat menjimatkan masa selain memudahkan perjalanan jemaah haji Malaysia, terutama golongan warga emas dan orang kurang upaya ke Makkah.

“Road to Makkah” adalah satu sistem prapelepasan yang disediakan kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji.

Di bawah inisiatif ini, cap jari semua jemaah akan diambil manakala pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas.

Kemasukan jemaah ke Arab Saudi dipermudah seperti penerbangan domestik manakala bagasi mereka akan dihantar terus ke penginapan.

Tahun ini sebanyak 12 kaunter imigresen Arab Saudi disediakan di KLIA.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia buat julung kalinya menyediakan dua pintu automatik yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi memudahkan proses imigresen jemaah haji.

Projek perintis “Road to Makkah” diperkenal di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif itu dilaksanakan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, inisiatif ini turut diperkenal di Tunisia, Bangladesh dan Pakistan.

Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci pada pukul 5.30 pagi tadi.

-BERNAMA


Pengarang :