AGENDA NASIONAL

MAPIM anjur kempen #ShameOnIsrael esok

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengajak rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa menyertai kempen media sosial esok bagi mengutuk tindakan rejim zionis Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin awal minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Datuk Alim Araby berkata, kempen yang berlangsung sepanjang hari itu, menggunakan tanda pagar #ShameOnIsrael dengan latar belakang warna hitam atau merah.

“Kita mahu sampaikan mesej dari Malaysia bahawa tindakan Israel ini memalukan, ‘shame on you’. Israel ini penduduknya hanya sembilan juta sahaja.

“Kita hendak beritahu dengan jelas bahawa kita tidak akan memekakkan telinga dan menutup mata dengan tindakan mereka. Kita hendak viralkan,” katanya kepada Bernama di Kedutaan Palestin, semalam.

Tambahnya, kempen media sosial itu merupakan antara inisiatif paling ringkas yang boleh disertai dan dilaksanakan orang ramai bagi mengutuk tindakan Israel mengakibatkan kemusnahan kepada 10 bangunan mempunyai 100 unit apartmen di kawasan Wadi Al Hummus, bandar Sur Bahir.

Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata bagi pihak kerajaan Palestin dan rakyatnya di sini, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang disifatkan sebagai Jenayah Perang Israel.

Beliau menggesa Malaysia serta negara lain dan badan antarabangsa bersama menyertai Palestin mengutuk kekejaman Israel, yang dipercayai sebagai langkah mendapatkan sokongan untuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Parti Likudnya sebelum pilihan raya September nanti.

“Beliau gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya lalu (pada April), jadi beliau perlu meneruskan sokongan terhadap peneroka dan meranapkan impian Palestin untuk mewujudkan Negara Palestin yang merdeka dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara.

“Ini adalah satu tindakan Perang Jenayah, menyebabkan perpindahan tidak adil puluhan keluarga Palestin, satu perbuatan tanpa justifikasi perundangan, kecuali memperlihatkan Israel mengunakan kuasanya secara agresif dan terang-terangan untuk mendorong ke arah pelaksanaan perjanjian abad ini, yang sebenarnya bertujuan menghapuskan semua perjuangan Palestin,” katanya.

Perjanjian abad ini merujuk kepada Rancangan Perdamaian Timur Tengah Presiden Donald Trump, yang kononnya bertujuan untuk menamatkan konflik Israel dan Palestin. Bahagian ekonomi mengenai perjanjian itu diumumkan di Bahrain.

– BERNAMA


Pengarang :