Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Mariah, laci dan almari

Oleh Nieyna J

Sepasang tangan meraba-raba di atas katil seperti mencari sesuatu. Telefon bimbit dicapainya dengan mata terkatup rapat dan dahi berkerut. Penggera segera dimatikan. Sepasang tangan itu mengeliat malas kemudian mengusap pula sepasang mata dengan lembut seakan-akan memujuk. Matanya dibuka luas dan perlahan mendekati aku. Segar sungguh rupa Mariah di awal pagi seperti kelopak mawar yang disiram embun. Pandangan matanya begitu sensual memerhatikan aku dengan ucapan selamat pagi.. Setelah Mariah puas menatapku, dia bangun dan melucutkan pakaiannya satu persatu. Aku segan dan rasa berdosa kerana tubuh cantik itu bukan milikku, mujurlah silauan jejalur matari dari luar jendela mengaburkan pandanganku. Ingin sekali aku katakan betapa cantiknya dia tetapi aku bisu dan aku tidak berlidah. Mariah bangun dari katil dan segera ke bilik mandi.

Di dalam kamar ini, tidak ada yang tidak pernah kulihat isinya kecuali laci dan almari. Ya, aku tahu serapat mana pun kita dengan seseorang pasti ada sisi hidupnya yang masih rahsia, dan dia akan meletakkan kita sepertimana dia ingin kita memandangnya . Setiap malam sebelum Mariah menutup pintu hari, dia sering menulis sesuatu sambil membelakangi aku. Aku cuba curi-curi pandang luahan hati berbentuk prosa itu sehabis mampu, tetapi tidak berjaya. Dari jarak sebegitu, terlalu jauh dan terlalu kabur luahan aksara itu untuk kubaca dengan mata kasar walaupun kami hanya berjarak sejengkal dua. Sesudah penanya berhenti menulis, Mariah akan menarik selimut dan terus tidur. Titisan air matanya di atas bantal mencuri pandanganku dan membuatkan aku ingin memeluknya erat tetapi aku tidak bertangan, baik kiri atau kanan.

Mariah keluar dari bilik mandi sambil mengelus rambutnya yang basah dengan tuala kecil. Dia memandang sekilas ke arah aku. Dihadiahkan riak yang manis. Aku hanya mampu pegun dan terus memerhati. Mariah menghidupkan lagu di telefon bimbitnya. Serentak lagu dimainkan, Mariah menari-nari, dari kiri ke kanan, kanan ke kiri sambil memandangku. Jika aku berkaki pasti aku belajar menari dan membetulkan tarian Mariah yang tunggang-langgang itu.

Mariah menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Dari gerak bibirnya aku tahu dia sedang menyanyikan lirik-lirik indah dari lagu yang berkumandang di radio. Walaupun aku tidak bertelinga lantas tidak dapat mendengar tetapi aku tahu membaca bahasa visual pada senyuman Mariah. Dia bahagia. Dia sedang berbahagia.

Mariah mengoles gincu merah api pada bibirnya. Dia meminta pandanganku akan rupanya. Aku berterus terang beberapa kali. Beberapa kali itu juga Mariah menukar-nukar warna gincu pada bibirnya sehingga dia betul-betul berpuas hati dengan pendapatku kemudian, menghadiahkan aku sebuah ciuman. Itulah penghargaan Mariah untukku sehari-hari. Tapi bagi aku, sudah tugasku untuk mencipta sesuatu yang sempurna pada pandangan mata Mariah. Tidak ada cacat cela dan serupa seperti apa yang dia inginkan. Tetapi Mariah tidak suka memandangku ketika jendela dibuka atau ketika lampu dinyalakan. Aku hanya dapat memerhatikannya dalam kesamaran dan ketidakpastian.

Mariah bangun dari kerusi dan berjalan mendekati almari. Dari sudut itu, aku tidak dapat melihat baju apa yang bakal Mariah pilih untuk hari ini. Yang aku tahu, Mariah akan berulang alik dari almari ke arah aku dan kemudian dari aku ke arah almari. Aku rasa perbuatannya itu sangat memenatkan. Tidak salah rasanya jika Mariah membawaku ke arah almari dan biarkan aku memilihnya. Tetapi dia lebih suka begitu. Dia lebih suka membuat pilihannya sendiri dan atas pilihannya itu, dia akan meminta pendapatku yang manakah paling sempurna.

Mulutnya masih terkumat-kamit menjiwai lagu yang dimainkan pada telefon bimbit. Sekejap matanya dipejam, sekejap matanya memandangku. Mariah kemudiannya membuka laci meja dan mengeluarkan sesuatu lantas berpusing membelakangi aku. Ingin sekali aku lihat apa yang disimpan di dalam laci itu dan apa yang dilakukan Mariah di belakangku. Yang aku nampak akhirnya adalah sebuah magik. Mariah berkalih semula ke arahku dengan rupa yang sangat cantik tanpa cela. Dia ketawa kecil kemudian menyemburkan minyak wangi dan menghidunya beberapa kali. “Terima kasih untuk hari ini. Sekarang masanya untuk kau tidur, sayang.” Kata-kata Mariah yang kuteka dari gerak bibirnya. Mariah menyelimutku dengan sehelai selendang biru. Setelah itu, dia menyalakan lampu. Ingin sekali aku melihat rupa Mariah dengan jelas dalam suasana yang terang sebegini namun, ia sekadar angan-angan.

Dari celah-celah carik jahitan pada selendang yang menutupiku, aku lihat Mariah sedang menyediakan sarapan tanpa memandangku seperti selalu walaupun sekilas. Mariah bangun dari meja makan dan bergerak ke arah tingkap bilik dan menolak-buka jendela itu. Cahaya matahari menerpa masuk lantas menghidupkan ruang peribadi Mariah yang sentiasa kelihatan suram dan gelap. Tiba-tiba kain yang menutupiku ditiup angin langkisau yang tiba-tiba datang. Mariah segera menarik-tutup jendela itu kembali dan terus pandang ke arahku. Namun dia terlupa, dia tidak padamkan lampu. Ketika itu yang aku nampak adalah seorang perempuan gemuk dengan kulit wajah yang penuh jerawat dan cela yang tidak dapat ditutupi oleh solekan tebal dan baju yang cantik. Ya, Mariah. Diri Mariah yang sebenar!

Mariah terus berlari ke arahku. Kali ini dia memandangku dengan wajah yang marah dan kecewa. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Mariah terus menumbukku. Apa salahku? Aku hanya berterus terang tentang apa sahaja di hadapanku dan tidak wajar menipu kebenaran semata-mata kerana keindahan. Jika Mariah tahu, dia lebih cantik dari ilusi ,lebih cantik dari deria pandang mata pasti dia akan menerima dirinya sepertimana aku menerimanya.

Aku dapat merasakan tubuhku retak. Tubuhku sedikit demi sedikit berderai ke lantai. Tapi aku tidak berasa sakit. Ya, aku tidak akan berasa apa-apa. Aku hanya sekeping cermin. Aku adalah kaca dan akhirnya Mariah terluka.


Pengarang :