AGENDANASIONAL

Maritim tahan dua bot nelayan tempatan langgar syarat sah lesen

JOHOR BAHRU, 29 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua buah bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat sah lesen di perairan Endau dekat Mersing pada hari Sabtu dan semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata dalam insiden semalam, sebuah bot ditahan dalam Ops Jaksa di kedudukan 6.3 batu nautika utara Tanjung Kempit pada pukul 6.00 petang.

Beliau berkata bot yang dikendalikan oleh lima awak-awak termasuk seorang warganegara Thailand berumur antara 27 dan 44 tahun itu didapati melanggar syarat sah lesen apabila ia tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya, selain menggaji pekerja asing tanpa surat kebenaran.

“Bot dan kesemua awak-awak itu dibawa ke Jeti Maritim Pos Tanjung Gemok sebelum dilepaskan atas jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, sebuah lagi bot nelayan yang dikendalikan oleh empat awak-awak dan seorang tekong berumur antara 25 dan 41 tahun, ditahan di kedudukan tujuh batu nautika timur Tanjung Penyabong di perairan sama, dua hari lepas, pada pukul 6.00 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu tidak diusahakan sendiri oleh pemilik selain turut membawa bahan bakar di atas dek. Lima awak-awak bersama tekongnya dibawa ke jeti Maritim Pos Tanjung Gemok, dan mereka juga dilepaskan dengan jaminan polis setelah disiasat,” katanya.

Haris berkata kes disiasat mengikut Sesyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen, dan beliau seterusnya mengingatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kegiatan dan aktiviti di laut yang menyalahi undang-undang negara di pejabat Maritim yang berdekatan.

Orang ramai boleh membuat aduan mengenai jenayah maritim dan kecemasan di laut dengan menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim negeri di talian 07-2199404. – BERNAMA


Pengarang :