AGENDANASIONAL

Maritim tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Kemaman

KEMAMAN, 24 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 21 tekong dan awak-awak yang dipercayai menceroboh dan menangkap ikan dalam kawasan perairan negara tanpa kebenaran, di sekitar perairan Kemaman, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kedua-dua bot itu ditahan antara pukul 3.30 petang dan 4.15 petang di kedudukan sekitar 58 hingga 60 batu nautika di timur laut Kuala Kemaman.

“Hasil siasatan mendapati mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 67 tahun, dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. APMM turut merampas 5,000 kilogram ikan campur, 1,500 kilogram ikan baja, kira-kira 3,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.

Selain itu mereka juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dan Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Rashidilhadi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam akan dijalankan secara berterusan dengan melaksanakan pelbagai kaedah operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanah negara. – BERNAMA


Pengarang :