Selangorkini
NASIONAL

Masalah kemiskinan di Kelantan masih serius

BACHOK, 14 JUL : Masalah kemiskinan di Kelantan terutamanya di luar bandar masih serius dan memerlukan perhatian pelbagai pihak, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa.

Beliau berkata sebanyak 12,157 isi rumah di Kelantan dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar terutama di luar bandar seperti yang tersenarai dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih).

“Jumlah itu melibatkan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kemiskinan berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

“Untuk menangani masalah kemiskinan itu, kita memerlukan data yang lengkap termasuk pemetaan kawasan komuniti miskin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail dan Pengarah InsPeK, Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Sivarasa berkata, pemetaan yang dibuat oleh InsPek merangkumi lapan modal komuniti yang menjadi indikator baru kemiskinan iaitu modal insan, sosial, politik, agama, semula jadi, budaya dan ekonomi.

“Kami di pihak kementerian akan berusaha menyelesaikan masalah kemiskinan di negeri ini berdasarkan pemetaan tersebut. Selama ini, kemiskinan (penduduk) hanya dilihat dari segi sisi ekonomi sahaja, tetapi kini kita turut mengambil kira pelbagai aspek,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian akan memberi perhatian untuk menyelesaikan masalah air dalam kalangan penduduk luar bandar di negeri ini.

Menurut Sivarasa, masih ramai penduduk negeri ini yang menggunakan air tandak (air bukit) iaitu antara 100 hingga 200 kawasan termasuk 60 di Jeli.

“Kita akan melihat penyelesaian terbaik termasuk menyambung air paip ke kawasan kampung yang jauh di pedalaman,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sivarasa berkata masalah kemiskinan di negara ini memerlukan masa untuk menyelesaikannya dan tidak ada penyelesaian segera.

-BERNAMA


Pengarang :