REMBAU 3 JULAI — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (empat, kiri) beramah mesra dengan golongan anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Khusus (PEYAKIN) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Seri Rembau, malam tadi. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Masyarakat perlu hargai jasa bomba

REMBAU, 3 JULAI: Masyarakat perlu menghormati jasa anggota bomba yang sentiasa bersedia membantu dalam apa jua keadaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, peranan yang dimainkan pasukan itu amat penting dalam kehidupan masyarakat dan negara malah tindakan menghina anggota beruniform berkenaan tidak seharusnya berlaku.

“Saya berharap kita semua hormatilah anggota bomba dan jangan kita aniaya dan hina mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis Aidilfitri anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT Nazri Yunos.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, beliau berkata ucapannya itu adalah merujuk kepada tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menconteng mural potret angota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, baru-baru ini.

Pada masa sama, Zuraida dalam ucapannya juga berharap pertubuhan itu terus agresif memainkan peranan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai Dasar Komuniti Negara.

Katanya beliau tidak mahu rakyat mendapat maklumat yang salah selain mahu semua masyarakat mendukung dasar yang digubal kerajaan demi kebaikan bersama dan kemajuan negara.

“Sekiranya ada maklumat yang tidak betul, kita kena hentikan segera dan jangan pula kita sebar dan sambung,” katanya.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 400 penduduk setempat.

-BERNAMA


Pengarang :