BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB bangga pencapaian pelajar tajaan Yayasan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari gembira dengan pencapaian cemerlang pelajar tajaan Yayasan Selangor, khususnya dari Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI).

Katanya, menerusi silibus pembelajaran yang betul, pelajar mampu bersaing bersama pelajar akademik lain dengan kelebihan menghafal 30 juzuk al-Quran.

“Hari ni kita dapati antara pelajar cemerlang adalah dari MITS yang menunjukkan pelajar tahfiz ini jika diberi pendidikan dan silibus yang betul, mereka boleh bawa pendidikan seperti biasa. Sebahagian besar daripada mereka ini hafaz 30 juzuk al-Quran.

“Di samping cemerlang 10 dan 11A, saya percaya jika maahad tahfiz boleh gabungkan semua elemen pendidikan fizikal dan akademik, ia juga mampu menjana kecemerlangan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018 di Kelab Shah Alam, di sini.

Dalam majlis itu, seramai 215 pelajar diberikan anugerah atas kecemerlangan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Tingakatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Anugerah Guru Penyelaras Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor diberikan kepada Nur Khasanah Ulfah Mohamad Anuar dari MITS Klang manakala Anugerah Guru Penyelaras Terbaik Program Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS) Sekolah Rendah diberikan kepada Norzirah Ismail dari Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar.

Alina Deraman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri pula dipilih selaku penerima Anugerah Guru Penyelaras Terbaik HIPERS Sekolah Menengah.

SRAI Seksyen 19, Shah Alam dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik Program HIPERS Sekolah Rendah manakala SMK Bandar Tasik Puteri dipilih sebagai penerima Anugerah Sekolah Terbaik Program HIPERS Sekolah Menengah.

Sementara Anugerah Sekolah Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor pula diberikan kepada Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya.


Pengarang :