AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: HIJRAH jadi rujukan Melaka dan Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM, 25 JUL: Dato’ Menteri Besar melahirkan rasa bangga apabila model Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) menjadi sumber rujukan Melaka dan Wilayah Persekutuan dalam melaksanakan program pembangunan usahawan dalam kalangan rakyatnya.

Amirudin Shari berkata, beliau difahamkan beberapa negeri cuba membuat rujukan dengan agensi itu bagi menjalankan skim mikrokredit.

“Saya selaku Menteri Besar sudah pasti berbangga apabila anak syarikat Kerajaan Negeri menjadi rujukan.

“Sudah pasti kita di peringkat Kerajaan Negeri tiada halangan untuk bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Taklimat Perdana Masjid Peringkat Daerah dan Majlis Menandatangani Surat Kerjasama HIJRAH dan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif HIJRAH, Datuk Mansor Othman, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Amirudin berkata, HIJRAH telah menerima peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM186 juta sejak penubuhannya pada 2015.

Sehingga kini, HIJRAH berjaya membantu lebih dari 50,000 peserta meningkatkan pendapatan serta melebarkan lagi golongan menengah di negeri ini.

“Dana itu termasuk dana Pengembangan Usahawan HIJRAH sebanyak RM31 juta dan RM5 juta untuk Program Khas hanya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Ibu Tunggal.

“Peruntukan kedua-dua dana oleh Kerajaan Negeri adalah untuk memperluaskan penyertaan golongan sasar menyertai melalui Program Zero to Hero,” katanya.


Pengarang :