BERITA UTAMASELANGOR

MB janji kadar baharu tarif air tidak bebankan pengguna

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 JUL: Kerajaan Negeri tidak akan mengumumkan kadar tarif air yang baharu sehingga pihaknya berpuas hati dengan kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan itu nanti.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ketika ini Kerajaan Negeri masih lagi berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kadar baharu itu.

“Saya tidak boleh umumkan sehingga kita berpuas hati. Janji saya, kadar baharu itu tidak akan dipersetujui jika ia membebankan pengguna.

“Bagaimanapun, kita juga tidak mahu menanggung beban sehingga perancangan pembangunan lain terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Invest Selangor Berhad, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Amirudin berkata, pihaknya dan Air Selangor mempunyai cadangan atau formula untuk pengguna khususnya B40 tidak terkesan dengan kenaikan itu.

Terdahulu, Amirudin tidak menerima cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk menaikkan tarif air negeri sehingga 50 peratus dari kadar sedia ada.

Sehubungan itu, beliau mahu persetujuan itu dapat dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan Kerajaan Negeri menjelaskan kepada rakyat.

“Kenaikan ini membabitkan banyak negeri kerana kadar ini tidak dinaikan berpuluh tahun lalu, jika ia tidak dinaikan ia akan mengganggu sistem pengurusan air,” katanya.

April lalu, Kerajaaan Negeri dijangka mengumumkan status tarif air selepas Aidilfitri ini selepas tarif air tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lalu.

Tarif air di negeri itu ketika ini masih mengekalkan pada kadar RM1.39 semeter padu, iaitu harga pada 2006.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan enam negeri bersetuju menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan air kepada pengguna.

Dr Xavier berkata rundingan menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :