AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kemuka cadangan susun sempadan baharu PBT, PTG

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyusun semula beberapa persempadanan baharu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana sebahagian kawasan atau bahagian pilihan raya di negeri ini sudah melebihi beberapa kawasan Parlimen luar Selangor.

Katanya, pihak berkuasa negeri dibenarkan menetapkan sempadan kawasan PBT seperti penukaran nama dan taraf pengubahan sempadan di bawah Seksyen 43 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Saya sudah menyampaikan hasrat kepada pengerusi SPR melalui pertemuan baru-baru ini dan mereka minta untuk kita cadangkan beberapa persempadanan baharu.

“Kita akan kemukakan cadangan ini tetapi ia membabitkan kos yang akan dimasukkan dalam pembentangan bajet 2020,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuang, Sallehudin Amiruddin berhubung kesukaran dalam urus tadbir sempadan pentadbiran PBT dan PTG selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Amirudin berkata, pelaksanaan itu perlu mengambil kira aspek geografi, demografi dan kepadatan penduduk termasuk kawasan persempadanan pilihan raya supaya dapat menjamin kecekapan sistem penyampaian serta perkhidmatan kepada seluruh lapisan rakyat.

“Mengikut laporan kajian persempadanan semula, syor kawasan atau bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri yang dicadangkan berdasarkan beberapa faktor iaitu keadaan geografi dan topografi serta tahap pembangunan kawasan terbabit.

“Selain itu, ia meliputi keadaan demografi dan kepadatan penduduk termasuk bilangan pemilih serta kemudahan asas infrastruktur seperti jalan raya dan sistem komunikasi,” katanya.


Pengarang :