AGENDANASIONAL

MB: Kukuhkan rizab laksana program terancang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Negeri merancang mewujudkan program lebih berdaya saing termasuk menambah peruntukan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila rizab negeri diperkukuhkan kepada angka lebih stabil.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dalam tempoh tiga tahun, sejumlah RM1.3 hingga RM1.4 bilion digunakan daripada rizab untuk merancakkan program pembangunan.

“Jika buat perbandingan, rizab Jun 2018 adalah RM2.8 bilion, namun dalam tempoh tiga tahun ini, kita menggunakan RM1.3 hingga RM1.4 bilion untuk program merancakkan pembangunan.

“Justeru, katanya, Kerajaan Negeri kini berhati-hati dan perlu mengukuhkan rizab kepada sekurang-kurangnya RM2.7 bilion untuk merangka program dan menambah peruntukan DUN, tetapi ia bukan dalam masa terdekat. Bersabar…,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu, pada sidang Dewan Negeri Selangor, di Dewan Annex hari ini.

Katanya, bagi meningkatkan prestasi kewangan negeri, Kerajaan Negeri mengambil beberapa tindakan antaranya merangka pengenaan Fi Pemprosesan dan Wang Cagaran Permohonan Papan Iklan di dalam Rizab Jalan Negeri oleh Jabatan Kerja Raya Negeri dan pelaksanaan Kaedah Perikanan Darat (akuakultur).

Katanya, apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti berkaitan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj tertentu memandangkan ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan caj dan tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik.

“Tindakan yang diambil Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi kewangan dari aspek kawalan perbelanjaan pula membabitkan Perbendaharaan Negeri Selangor memperkemas dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemah dan langkah penjimatan dalam menguruskan perbelanjaan wang awam.

“Selain itu, kawalan perbendaharaan iaitu Penguatkuasaan Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Pekeliling-Pekeliling Perbendaharaan bagi memastikan pembayaran dibuat dengan sempurna, contohnya kawalan terhadap pembayaran Arahan Perbendaharaan 58(a).

“Kita juga akan memastikan pengurusan rizab diurus dengan cekap dan teratur serta memastikan segala dasar, program, projek juga aktiviti yang dirancang bagi pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, sejumlah RM58 juta berjaya dikutip daripada anak syarikat Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun lalu sebagai sumber pendapatan baharu.

“Ini kali pertama ia dilaksanakan untuk sumbangan akaun hasil disatukan. Oleh itu, kita berterima kasih atas pencapaian kutipan ini,” katanya.


Pengarang :