SELANGOR

MB: Saya tidak lakukan perkara luar batasan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 10 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menegaskan beliau tidak melakukan perkara luar batasan seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Menurutnya, penyebaran berita palsu itu disifatkan sebagai politik kotor malahan sepanjang tempoh berkenaan, beliau berada di Kuala Lumpur.

Katanya, cubaan memburukkan dirinya itu dipercayai rentetan daripada kenyataan medianya yang mengecam tindakan politik kotor sebelum ini.

“Saya tidak tahu mengapa saya dikaitkan tetapi Alhamdulillah saya yakin saya tidak pernah melakukan sebarang tindakan di luar batasan malahan dakwaan-dakwaan itu saya yakin sangat saya tiada di lokasi-lokasi yang cuba dikaitkan dalam keadaan tersebut.

“Mungkin ini berturutan atas kenyataan media saya sebelum ini yang menyelar tindakan politik kotor dan politik longkang daripada berleluasa.

“Saya dengan tegas mengatakan tidak pernah berlaku tuduhan-tuduhan itu malahan saya berada di sekitar Kuala Lumpur sepanjang tuduhan-tuduhan tersebut dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Kempen Sayangi Generasiku Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Peringkat Kuala Selangor 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor.

Sejak semalam, tular satu keratan kenyataan di media sosial yang mengaitkan Amirudin dengan seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor yang mendakwa mereka berada di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.

Amirudin berkata, fitnah itu tidak akan memberikan kesan kepada dirinya tetapi beliau bimbang corak kotor ini akan berleluasa dalam politik negara.

Katanya, beliau akan berbincang dengan peguam dan melihat keadaan semasa sebelum memutuskan sebarang tindakan perundangan.

“Saya percaya ia tidak akan memberikan kesan kepada saya secara individu tetapi yang saya risaukan memberikan kesan kepada corak politik.

“Seperti yang pernah saya sebutkan, ternyata cubaan menggunakan politik fitnah tidak akan berjaya malahan ia sudah ditolak dalam tempoh 20 tahun dengan pengalaman kita,” katanya.


Pengarang :