AGENDA NASIONAL

MB Selangor ambil positif teguran laporan Ketua Audit Negara

KLANG, 17 JUL : Dato’ Amirudin Shari mengambil positif teguran Laporan Ketua Audit Negara berhubung Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), baru-baru ini.

Kata Amirudin, pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu terbabit.

“Untuk mengenalpasti permasalahannya, Kerajaan Negeri mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) dan badan berkanun lain yang boleh menelitinya.

“Pada saya kita bukan hanya perlu mengambil laporan yang ‘manis’ sahaja daripada audit negara itu, tetapi mana yang sewajarnya ditegur itu adalah bagi membolehkan kita melaksanakan tadbir urus dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Wacana Perbandaran Rendah Karbon ke Arah Bandar Pintar (Smart City) di Hotel Premier, di sini, hari ini.

Terdahulu melalui Laporan Audit Negara 2018 Siri 1 menyebut, pengurusan projek pembangunan PPAS kurang cekap sehingga tidak mencapai sasaran yang ditetapkan mengikut Pelan Strategik PPAS 2016 – 2020.

Sehingga Disember 2018, sebanyak lima atau 17.9 peratus daripada 28 projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan mengalami kelewatan.

Sementara berdasarkan pengauditan terhadap aspek tadbir urus korporat YAWAS adalah kurang memuaskan dan beberapa penambahbaikan diperlukan selaras dengan amalan terbaik korporat.

Selain itu, bagi program Insentif Perkahwinan Belia terdapat kelemahan dalam pengurusan melibatkan tempoh
bayaran insentif kepada pemohon yang berjaya.


Pengarang :