BERITA UTAMASELANGOR

MB: Sepakat bantu baik pulih rumah mangsa ribut

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SELAYANG, 7 JUL: Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan semua agensi bagi memulihkan 150 kediaman yang terjejas akibat dilanda ribut di FELDA Suharto, Hulu Bernam, kelmarin.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga sedia membantu semua mangsa terbabit daripada sudut bantuan kewangan termasuk membaik pulih kediaman mereka.

“Di Rawang baru ini, kita belanja lebih kurang RM360,000 untuk bantu penduduk di kawasan pangsapuri dan sekitarnya yang berdepan masalah serta ribut yang melanda.

“Kerajaan Negeri masih berupaya dan mampu untuk membantu semua mangsa berkenaan bukan saja bantuankewangan tetapi sebagai mana yang ada dalam sistem bantuan dan sokongan bencana dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Selayang dan Ahli Dewan Negeri (ADN), Taman Templer dan Bandar Baru Selayang, Di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong; ADN Taman Templer, Sani Hanzan Dan ADN Kuang, Salehuddin Amirudin.

Sebelum ini, kira-kira 150 keluarga di FELDA Soeharto, berdepan detik cemas apabila rumah didiami dilanda ribut termasuk menerbangkan bumbung sebahagian rumah berkenaan.

Pada 5 Julai lalu sekitar jam 5.30 petang, ribut yang melanda kira-kira selama 20 minit itu turut menyebabkan empat keluarga peneroka di FELDA terbabit terpaksa menumpang di Dewan Orang Ramai berhampiran kerana rumah mereka rosak teruk.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, pihaknya akan teruskan kebaikan dan kejayaan yang dilakukan demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir sejam bersama penduduk di sekitar daerah Selayang bagi memeriahkan sambutan berkenaan.


Pengarang :